Site Loader

Secara umumnya, seseorang yang sedang mencari pekerjaan atau seseorang yang tidak mempunyai pekerjaan serta bekerja kurang daripada dua hari hingga seminggu sebelum pemecatan adalah dikategorikan sebagai pengangguran. Menurut Sakernas (Survey Keadaan Angkatan Kerja Nasional), pengangguran didefinisikan sebagai orang yang sedang mencari pekerjaan dan pada masa itu orang tersebut tidak mempunyai pekerjaan. Orang yang telah memiliki pekerjaan namun belum mula untuk bekerja juga dianggap sebagai pengangguran. Selain itu, terdapat juga penganggur putus asa. Penganggur putus asa merupakan orang yang tidak berusaha untuk mencari pekerjaan kerana mereka memandang rendah terhadap diri sendiri dan menpunyai keyakinan diri yang rendah. Mereka berasa diri mereka tidak mungkin mendapatkan pekerjaan. Perbandingan jumlah pengangguran dengan jumlah angkatan kerja adalah tingkat pengangguran. Jumlah pengangguran biasanya dinyatakan dalam bentuk peratus. Pengangguran boleh dihitung dengan menggunakan rumus iaitu pengangguran = tenaga buruh – guna tenaga. Dengan melalui rumus ini, kita dapat mengetahui bahawa pengangguran adalah perbezaan antara jumlah tenaga buruh dengan guna tenaga. Menurut Keynes, sesebuah negara yang mempunyai kadar pengangguran 4% atau kurang menunjukkan negara tersebut telah mencapai guna tenaga penuh.
Dalam era pascaglobalisasi dan pascamodenisasi ini, pengangguran dalam kalangan siswazah merupakan permasalahan sosioekonomi yang terus menghambat di negara kita seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Tidak hairanlah kita asyik mendengar tentang isu pengangguran sama ada dalam media sosial seperti televisyen, radio serta laman sesawang atau media cetak seperti surat khabar kerana isu pengangguran telah menjadi isu sensitif dalam kalangan masyarakat terutamanya dalam kalangan siswazah. Saban tahun, beribu-ribu orang siswazah menamatkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan harapan menggunung untuk mendapatkan kerjaya yang setimpal dengan pengajian yang dipelajari. Namun, keseronokan siswazah yang menggenggam segulung ijazah tidak berpanjangan kerana kegusaran terus bersarang dalam jiwa mereka yang belum mendapat pekerjaan. Persoalannya kini, apakah punca-punca, kesan-kesan dan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk menangani masalah pengangguran yang kian membimbang ini?Tidak dapat dinafikan bahawa sikap siswazah yang terlalu memilih kerjaya merupakan punca utama peningkatan kadar pengangguran di Malaysia. Hal ini demikian kerana siswazah sanggup menunggu pekerjaan yang eksklusif dan bergaji tinggi. Menurut Utusan Online yang diterbitkan pada 23 Disember 2016 yang bertajuk ‘minta gaji tinggi punca siswazah menganggur’, jelaslah dilihat bahawa punca pengangguran siswazah adalah permintaan gaji yang tidak munasabah atau terlalu tinggi. Menurut Simon Si, Ketua Komunikasi Serantau Jobstreet.com, sebanyak 68 peratus siswazah meminta jumlah gaji yang tidak realistik. Hal ini telah menyebabkan pihak majikan menolak permohonan perkerjaan siswazah. Keadaan ini menambah buruk apabila siswazah mempunyai interpretasi terlalu tinggi terhadap prasarana kerja seperti fleksibiliti waktu bekerja, kredibiliti syarikat, infrastruktur, sistem pengangkutan yang baik dan sebagainya. Terdapat juga siswazah yang bersikap selektif tentang syarikat. Sebagai contoh, mereka hanya memilih syarikat yang mempunyai kedudukan kukuh atau syarikat yang berjenama. Jika dilihat dari perspektif yang lain, pemilihan sebegini memang wajar dalam pemikiran siswazah kerana cara ini dapat menentukan kestabilan pekerjaan. Namun, hal ini amat menyusahkan mereka untuk memperoleh pekerjaan kerana kekurangan pengalaman.
Selain itu, punca pengangguran dalam kalangan siswazah juga dikait rapat dengan pengalaman bekerja. Sikap sesetengah majikan yang sangsi kerana memandang rendah terhadap kebolehan siswazah yang tidak mempunyai pengalaman bekerja. Sesetengah majikan melihat pengalaman lebih penting daripada taraf pendidikan. Jika tiada pengalaman bekerja yang mencukupi, siswazah memang sukar untuk mendapat pekerjaan. Sesetengah majikan tidak ingin menanggung sebarang kerugian yang disebabkan oleh kekurangan pengalaman bekerja. Oleh itu, graduan baharu tidak diberi peluang untuk mencuba. Ramai majikan terutamanya dalam sektor swasta cenderung untuk mengutamakan calon memiliki pengalaman bekerja berbanding dengan graduan baharu yang berkelulusan tinggi tetapi hanya berpengalaman dari segi teori. Dengan alasan mengurangkan kos upah, majikan sanggup menawarkan kerja yang sepatutnya dilakukan oleh orang yang berpendidikan tinggi kepada orang yang tidak berpendidikan tinggi. Hal ini demikian kerana pekerja yang berpengalaman tidak perlu menjalankan pelbagai latihan dan kursus lagi kerana mereka sudah dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan. Namun, tindakan majikan sebegini akan membawa kerugian kepada negara. Jumlah pendapatan per kapita negara menurun kerana kadar pengangguran semakin meningkat.
Punca yang seterusnya adalah kebanyakan siswazah tidak mempunyai kemahiran berkomunikasi yang berkesan untuk membolehkan mereka bersaing di pasaran kerja yang semakin kompleks dan sengit. Pada masa kini, pasaran kerja memerlukan graduan yang berkeyakinan tinggi, kepetahan untuk bercakap atau berkomunikasi, berpandangan jauh dan berkomitmen. Bahasa Inggeris penting dalam era globalisasi, liberalisasi dagang dan asakan teknologi maklumat (ICT) pada hari ini. Para majikan akan mengambil pekerja berdasarkan kelebihan mereka menguasai bahasa seperti Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Siswazah perlu menguasai Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia kerana banyak syarikat menggunakan kedua-dua bahasa ini sebagai bahasa komunikasi. Memetik kata-kata Datuk Maznah Hamid, “jika dari segi akademik, individu itu hebat, namun lemah dari aspeks komunikasi, dia tetap tidak akan membantu kejayaan individu itu.” Justeru, kemahiran komunikasi perlu dikuasai dalam kalangan siswazah. Majikan tidak akan melihat gred A yang ada pada ijazah tetapi majikan memetingkan cara seseorang individu untuk berkomunikasi. Kemahiran komunikasi yang bagus dapat menyakinkan diri seseorang dalam semua bidang yang diceburinya.
Bilangan siswazah yang menganggur di negara kita semakin bertambah. Memang tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian besar daripada siswazah menganggur kerana kursus pengajian yang ditawarkan kurang profesional dan tidak memenuhi prospek pasaran kerja semasa. Pada masa kini, terdapat beratus-ratus institusi pengajian muncul terutamanya institusi pengajian swasta yang boleh diibaratkan seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan jika berbanding dengan masa dahulu. Hal ini melambangkan bahawa masyarakat kini amat mementingkan pendidikan. Hakikatnya, lambakan institusi pengajian ini bermain dengan kata-kata apabila menawarkan jurusan yang tidak mendapat pengiktirafan dan memenuhi perspesifikasi perkerjaan yang ditetapkan. Institusi pengajian pada masa kini lebih mementingkan keuntungan berbanding dengan fungsi yang menawarkan perkhidmatan pendidikan. Terdapat juga pihak pengajian yang menawarkan kursus-kursus yang tidak diiktirafkan oleh kerajaan. Oleh itu, tidak hairanlah bahawa kebanyakan siswazah mencuba nasib mereka dalam bidang yang tidak sesuai dengan kelulusan dan kemahiran dan seterusnya menyebabkan kadar pengagguran semakin meningkat.

Prestasi atau kelayakan siswazah yang terlalu tinggi berbanding jawatan yang ditawarkan dalam pasaran kerja juga merupakan punca pengganguran. Dengan keadaan tidak ada kekosongan jawatan, siswazah akan terus mencuba untuk mendapat pekerjaan tersebut dengan tidak berfikir banyak. Jawatan yang tidak mencukupi juga menyebabkan siswazah sukar diserap ke dalam alam pekerjaan kerana bilangan siswazah terlalu ramai. Sebagai contoh, dalam temuduga untuk memenuhi jawatan juruteknik, kebanyakan calon yang hadir dalam temuduga tersebut adalah dalam kalangan pemegang diploma atau ijazah namun untuk memenuhi jawatan tersebut hanya memerlukan kelulusan di peringkat sijil sahaja. Seandainya calon dalam kalangan pemegang diploma atau ijazah diterima untuk bekerja, hal ini akan menimbulkan isu mengenai kadar pembayaran gaji yang diberikan tidak sesuai jika dibandingkan dengan kelulusan graduan di peringkat sijil sahaja. Mutakhir ini juga, pembangunan teknologi tinggi mula mengambil alih tugas manusia dalam pelbagai sektor seperti sektor pengeluaran. Penggunaan teknologi dalam sektor pengeluaran sekian meluas kerana kestabilan dan peningkatan kualiti dan kuantiti produk, segala kerja dapat dilakukan dengan cepat dan efisien serta pengurangan penggunaan pekerja asing di samping mengurangkan pengaliran mata wang negara kita ke negara lain.

We Will Write a Custom Essay Specifically
For You For Only $13.90/page!


order now

We Will Write a Custom Essay Specifically
For You For Only $13.90/page!


order now

Kesan pengangguran terhadap ekonomi negara adalah pendapatan hasil cukai akan mengalami masalah. Pengangguran menyebabkan pendapatan negara yang berpunca daripada sektor cukai menjadi berkurangan. Hal ini demikian kerana pengangguran yang tinggi akan menyebabkan kegiatan ekonomi menurun sehingga menyebabkan pendapatan masyarakat menurun dan seterusnya cukai yang perlu dibayar oleh masyarakat pun akan menurun. Apabila penerimaan cukai menurun, dana untuk kegiatan ekonomi kerajaan juga akan berkurang sehingga kegiatan pembangunan negara pun akan terus merosot. (Arius Jonaidi, 2012). Apabila pembangunan negara menjadi perlahan, infrastruktur dalam sesebuah negara tidak dapat dibangunkan bagi tujuan pembangunan negara. Hal ini demikian kerana pendapatan negara yang tidak mencukupi untuk dibelanjakan ke arah pembangunan infrastruktur. Menurut Sinar Harian yang diterbitkan pada 18 Disember 2016 yang bertajuk ‘pengangguran siswazah meruncing’, memetik butir-butir daripada Jabatan Perangkaan, pengangguran dalam kalangan siswazah memuncak pada September 2016 daripada 30 peratus kepada 34 peratus. Ini bermakna 34 orang daripada setiap 100 lulusan universiti atau seorang dalam tiga tidak mempunyai pekerjaan. Berdasarkan anggaran tenaga buruh seramai 14 juta orang, hampir setengah juta gagal mendapatkan pekerjaan. Daripada jumlah tersebut, 25 peratus berkelulusan universiti. Perangkaan ini menunjukkan ekonomi negara menjadi semakin buruk akibat masalah pengangguran.Kesan yang seterusnya adalah menyebabkan daya beli masyarakat berkurang sehingga permintaan terhadap barang-barang hasil pengeluaran juga berkurangan. Hal ini akan menyebabkan tahap pelaburan menurun sehingga pertumbuhan ekonomi pun tidak akan terpacu. Oleh itu, ekonomi negara akan kekurangan hasil kerana kekurangan pelabur asing. (Arius Jonaidi, 2012). Menurut Sinar Harian yang diterbitkan pada 17 Oktober 2016, kuasa membeli berkait rapat dengan kadar inflasi. Dengan harga barang yang semakin meningkat, masyarakat adalah mustahil untuk mempunyai kuasa pembelian barangan dan perkhidmatan yang tinggi. Golongan muda terutama graduan yang baharu bekerja juga turut terkesan dengan keadaan ekonomi dan sara hidup tinggi. Gaji permulaan yang diperoleh oleh siswazah memang dikatakan tidak mencukupi bagi menampung segala keperluan hidup.
Kesan kadar pengangguran yang tinggi adalah meningkatkan kadar kemiskinan dan menambahkan jurang kemiskinan dalam kalangan masyarakat. Pengangguran menyebabkan penganggur kehilangan pendapatan. Kehilangan pendapatan dan kemampuan berbelanja akan mendatangkan masalah kewangan kepada keluarga penganggur. Kesulitan seperti membuat perbelanjaan ke atas barang-barang keperluan serta perkhidmatan penting seperti pendidikan mungkin memaksa penganggur melakukan jenayah. Penganggur akan sanggup merompak, menculik, membunuh dan sebagainya untuk mendapatkan wang bagi memenuhi keperluan asas atau untuk keluarga. Keadaan ini akan menjejaskan ketenteraman sosial dan seterusnya memburukkan perhubungan kekeluargaan. Oleh itu, pertambahan bilangan penganggur akan mengancam kesejahteraan sosial (Jomo & Ishak, 2003). Pengangguran juga menyebabkan penganggur kehilangan keyakinan diri malahan mengalami tekanan jiwa. Pengangguran jika tidak dikawal dan ditangani secara holistik, masalah ini memang akan medatangkan kesan kepada struktur sosial dan budaya yang boleh mewujudkan suasana yang tidak tenteram dalam keluarga dan masyarakat di samping meningkatkan kejadian antisosial.
Salah satu langkah yang boleh dilaksanakan untuk mengurangkan kadar pengangguran ialah Operasi Isu Penuh yang diinisiatifkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Menerusi operasi atau skim tersebut, lepasan universiti akan diberikan tugas di peringkat pengurusan pertengahan dan diberi elaun yang berpatutan. Begitu juga dengan lepasan sekolah yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sama ada dibenarkan memasuki tingkatan enam walaupun memperolehi keputusan lemah atau diberi pekerjaan di peringkat perkeranian dengan tangga gaji yang munasabah. Dengan melalui langkah ini, masalah pengangguran siswazah dapat dikurangkan atau diatasi dengan positif.Melalui artikel Utusan Online yang bertajuk ‘langkah menangani pengangguran siswazah’, Datuk Mustapha Mohamed, Menteri Pembangunan Usahawan mengumumkan kementerian memperkenalkan skim latihan keusahawanan kepada siswazah yang akan memasuki pasaran tenaga kerja. Hal ini boleh diselaraskan dengan kata pepatah, ‘menyediakan payung sebelum hujan’ kerana kerajaan mempunyai penyelesaian yang konkrit. Dengan melalui langkah ini, kerajaan tidak akan terperangkap dalam situasi yang sukar apabila berhadapan dengan keadaan yang gawat. Dengan menerusi skim ini, para graduan dapat mempersiapkan diri dengan memenuhi kehendak profesion yang diceburi dan terdedah kepada dunia kerjaya dengan lebih cepat. Dalam keadaan kegawatan ekonomi ini, masalah untuk menyediakan pekerjaan kepada lepasan universiti merupakan suatu masalah yang besar. Siswazah perlulah menerima dan menyertai skim ini dengan hati yang rela dan sentiasa sedar akan keadaan sendiri yang tidak seindah seperti dahulu. Siswazah dimotivasikan untuk menyertai skim latihan daripada duduk di rumah tanpa melakukan sebarang pekerjaan.Sudah tentulah bahawa menerusi latihan yang diberikan, siswazah dapat memperoleh pengetahuan dan pengalaman apabila menerjuni bidang yang lebih mencabar setelah ditawarkan pekerjaan. Justeru, sikap siswazah adalah penting uktuk sentiasa bersedia untuk menerima mata gaji yang ditawarkan atau elaun yang diberikan. Siswazah diingatkan untuk menghargai peluang yang amat dihargai ini.
Tambahan pula, anjakan paradigma yang seterusnya ialah kerajaan memperbanyakan jawatan kontrak di sektor awam. Kerajaan harus menyediakan pelajar-pelajar yang sesuai dengan kehendak ekonomi masa depan. Tamsilnya, kerajaan menyusun semula mata pelajaran sains dan matematik dari peringkat rendah. Selain itu, kerajaan menggalakan siswazah yang menganggur menyambungkan pengajian di IPTA atau IPTS ke peringkat Sarjana dan Phd. Yuran pengajian ditanggung penuh oleh kerajaan untuk setiap siswazah yang berjaya menyambung pelajaran. Dengan melalui langkah ini, masalah pengangguran dalam kalangan siswazah dapatlah dikurangkan.Konklusinya, pengangguran merupakan isu yang amat membimbangkan. Masalah pengangguran merupakan isu yang perlu diambil berat oleh semua negara termasuk negara maju kerana dunia berhadapan dengan krisis ekonomi kronik yang menyebabkan bilangan yang ramai hilang pekerjaan dan sumber pendapatan. Oleh itu, masyarakat haruslah menggembleng usaha dan tenaga untuk mencari jalan penyelesaian yang berkesan dan efektif dan bukannya menuding jari ke pihak lain. Masalah pengangguran tidak akan menjumpa titik noktahnya jika masyarakat tidak bekerjasama untuk mengatasinya. Masyarakat disarankan agar menggenggam erat visi negara iaitu Wawasan 2020 untuk mencapai status negara yang bertaraf lima bintang. Warga Malaysia perlu sedar bahawa ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’ apabila masalah ini menjadi semakin teruk. Siswazah pula dinasihati agar menilai potensi diri sebelum berusaha mendapatkan pekerjaan, menguasai secara teori dan praktikal bidang yang diambil di universiti, melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan meningkatkan kualiti diri.

Post Author: admin

x

Hi!
I'm Chloe

Would you like to get a custom essay? How about receiving a customized one?

Check it out
x

Hi!
I'm Ted!

Would you like to get a custom essay? How about receiving a customized one?

Check it out